Pengikut

Khamis, 16 September 2010

Fadilat Puasa: Dari Sudut Agama dan Politik



Dari sudut agama, Ibadat puasa melatih diri kita untuk membentuk diri, ahli keluarga, sanak saudara dan umat masyarakat dalam semua bidang kehidupan. Tujuannya adalah mengharapkan supaya kita dapat masuk ke syurga dan mengelakkan diri dari masuk ke neraka di akhirat nanti.
Dari sudut politik pula, pada bulan yang mulia ini kita memperingati semula peristiwa orang-orang Islam terdahulu memperoleh kemenangan di bulan Ramadhan seperti dalam peperangan Badar, kemenangan dalam peristiwa penaklukan Mekah dan kemenangan dalam peritiwa di ‘Ain Jalut mengalahkan bangsa Tartar.

Perang Badar berlaku pada 17 Ramadhan hari Jumaat tahun kedua hijrah semasa umat Islam baru menerima kewajipan berpuasa. Hanya dengan kekuatan 313 orang Rasulullah s.a.w. keluar bersama sahabatnya tentera musyrikin Makkah yang berjumlah seramai 1000 orang yang lengkap bersenjata.

Peperangan ini berlaku antara satu rumpun bangsa yang berbeza sistem kepercayaan. Satu pihak beraqidah dengan sistem kepercayaan Islam dan satu pihak lagi tidak percaya kepada sistem kepercayaan Islam.

Sebelum peperangan Badar bermula, Rasulullah s.a.w. yang beraqidah dengan sistem kepercayaan Islam telah bermunajat dan mengadu kepada Allah SWT:

“ Wahai Tuhanku! jika sekiranya pasukan kecil ini kalah nescaya engkau tidak lagi disembah.” (Muslim).

Jelaslah bahawa Rasulullah berserah kepada Allah untuk memelihara anak isteri dari menjadi tawanan, dibunuh, dirampas harta benda dan tanah air  akan dijajah kerana inilah pewaris umat yang akan meneruskan syariat dan syiar sistem kepercayaan Islam kemudian hari.

Berbeza pula dengan Abu Jahal yang memimpin tentera musyrikin dari Makkah yang dikatakan telah berkata:
:
“Wahai Tuhanku! Inilah dia orang yang memutuskan silaturahim (memecah belah anak beranak) dan membawa ajaran sesat, maka binasakanlah dia di pagi ini.” (al-Hakim)

Abu Jahal adaalah contoh golongan anti sistem kepercayaan Islam dengan mempertahankan kesesatan tetapi berselindung di sebalik silaturahim. Golongan ini mengenepikan risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad dan melabelkan orang-orang yang tidak menyokongnya sebagai kurang beriman atau sesat. Golongan Abu Jahal sama sekali terlupa bahawa peranan utama umat Islam adalah untuk mentauhidkan Allah, mengabdikan diri kepada Allah, di samping menolak syirik kepada-Nnya, dan cara hidup yang lain daripada yang diajar oleh Allah SWT .

Begitulah keyakinan tentera Islam bersama Nabi yang berpegang kepada sistem kepercayaan Islam walaupun Nabi Muhammad memberi pilihan kepada mereka sama ada balik ke Makkah atau menghadapi musuh yang lebih besar ini. Akan tetapi pengikut Nabi Muhammad tetap berpegang kepada maksud ajaran di dalam  Al-Quran al-Karim yang diturunkan di bulan Ramadhan yang bermaksud:

“ Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan Yang amat betul (ugama Islam).” (Surah al-Isra’, ayat 9).
“Dan Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” (Surah Ali Imran, ayat 123).
Manakala peristiwa pembukaan Makkah juga berlaku dalam bulan Ramadhan, di mana Rasulullah terpaksa menentang tentera yang dipimpin oleh Abu Sufyan yang juga dari kalangan kaum kerabat Rasulullah sendiri. Ia berlaku kerana Abu Sufyan telah membatalkan perjanjian Hudaibiah dan menyebabkan Kota Makah ditawan oleh orang-orang Islam. Ini membuka peluang kepada lebih ramai penduduk Mekah menganut sistem kepercayaan Islam. Ini juga berlaku dengan pertolongan Allah di bulan Ramadhan.
 
“ Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (Surah al-Nasr, ayat 1 – 3).

Begitulah juga dengan peristiwa Ain Jalut apabila tentera Tartar dari Asia Tengah berjaya menawan Baghdad yang menjadi pusat kerajaan Abbasiyah dan pusat pemerintahan Islam. Golongan Tartar telah memaksa umat Islam dengan merangka perlembagaan yang bernama Yasak yang diambil daripada fahaman Islam, Yahudi dan Kristian serta akal fikiran sendiri. Islam diambil untuk menipu umat Islam pada masa itu. Tentera Tatar terus mara untuk menakluk Shams dan Mesir tetapi apabila sampai ke Palestin di tempat yang dikenali dengan Ain Jalut, bala tentera Islam telah bangkit menentang kaum Tatar yang dikatakan pada masa itu mustahil dapat dikalahkan. Dengan semangat Islam, Allah mengurniakan pertolongan kepada umat Islam di Ain Jalut pada bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Marilah kita mengambil semangat Ramadhan ini dengan menyedari bahawa umat Islam di negara kita yang dicintai ini adalah umat yang merdeka dan bermaruah setanding dengan negara-negara lain yang merdeka. Umat Islam di negara kita dapat membina kehidupan sebagaimana yang diajarkan dalam sistem kepercayaan Islam. Kerajaan kita sangat prihatin dan menjaga syariat dan syiar Islam. Rakyat kita yang bukan beragama Islam tidak dizalimi atau dibunuh sebagaaimana yang berlaku di Iraq, Thailand, Filipina, Palestin, Chechen, dan sebagainya. Di dalam masa yang sama, pendidikan dan pemikiran umat Islam turut disuburkan dengan sistem pendidikan yang sistematik selaras dengan undang-undang perlembagaan yang selama ini terbukti berjaya mematuhi dan memenuhi tuntutan agama sebagaimana yang diajarkan di dalam sistem kepercayaan Islam.

Sesungguhnya kita tidak mendapat kemuliaan sekiranya kita tidak mempraktikkan atau melaksanakan ajaran Islam, sebagaimana yang diucapkan oleh Saidina Umar r.a :

Kita adalah satu kaum yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada kemuliaan Islam, pasti Allah SWT akan menghina kita.

Hari umat ini umat Islam di Malaysia dipelihara Allah dengan rezeki yang murah, kehidupan yang damai dan keselesaan mengamalkan syriat Islam di samping berjaya membina syiar Islam sehingga dihormati oleh negara-negara Islam yang lain. Di samping itu rakyat yanag bukan beragama Islam terus menikmati kebebasan mengamalkan agama mereka masing-masing. Dengan nikmat itu umat Islam telah berjaya melaksanakan berbagai-bagai program untuk meninggikan agama Allah di negara ini. Begitulah hikmah di sebalik ibadah puasa dari sudut Politik 
Cuma malangnya ada juga golongan yang menjadikan motif kebendaan sebagai matlamat hidup mereka di samping ada juga golongan yang menjadikan agama Islam sebagai alat politik untuk mendapatkan undi. Pastilah golongan ini akan menjadi hina dan mendapat kehinaan daripada Allah SWT.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...